Saturday, December 19, 2009

sedutan utusan

rk_01.1

PENGALAMAN 50 wartawan dan jurugambar memandu uji lebih 25 buah kereta milik DRB-Hicom Berhad ke Lake Kenyir Resort dan Spa di Terengganu sempena program syarikat konglomerat itu bersama media `DRB-Hicom Amazing Hunt' baru-baru ini tidak dapat dilupakan penulis.

Mana tidaknya setiap peserta berpeluang memandu uji sekurang-kurangnya tiga buah kereta bagi perjalanan pergi dan balik sejauh 1,140 kilometer Kuala Lumpur-Tasik Kenyir.

Penulis berkesempatan memandu Isuzu D-Max 2.5 liter manual dan Suzuki Swift 1.5 liter bagi perjalanan pergi, manakala bagi perjalanan balik ke Kuala Lumpur penulis memandu kenderaan utiliti sports (SUV) Chevrolet Captiva 2.0 liter.

Pada program pemanduan media jarak jauh pertama kali DRB itu, beberapa lagi kenderaan lain disediakan untuk dipandu uji antaranya Audi A4 1.8 liter, Audi Q7 4.2 liter, Audi Q5, Mitsubishi Pajero Sport , SUV Honda CRV, Honda City, Suzuki Grand Vitara dan Proton Ixora.

Perjalanan bermula dari Holiday Villa Glenmarie di Shah Alam. Keseronokan memandu D-Max membuatkan penulis hampir terlupa bahawa kenderaan tersebut hanya dipinjamkan untuk tempoh dua jam perjalanan sebelum bertukar kenderaan dengan rakan-rakan wartawan yang lain.

Perjalanan ke Tasik Kenyir, tasik terbesar di Malaysia dengan keluasan 260,000 hektar mengambil masa selama enam jam dan ia cukup menyeronokkan.

Tiba di Tasik Kenyir, penulis teruja dengan keindahan hutan semula jadi di sekitar Lake Kenyir Resort dan Spa yang dikelilingi hutan tropika itu.

Tasik Kenyir merupakan habitat kepada sembilan daripada 31 spesies burung enggang di Asia, destinasi rehat dan libur yang ideal serta popular bagi penggemar alam semulajadi, kaki pancing dan pemerhati burung.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Mohd. Khamil Jamil, pihaknya memilih Lake Kenyir Resort dan Spa yang sebelum ini dikenali sebagai Kenyir Lake View Resort untuk memberi kesempatan kepada media menikmati keindahan alam dan kemudahan di situ.

Beliau berkata, DRB-Hicom memperuntukkan RM10 juta untuk menaik taraf dan mengubahsuai pusat peranginan itu tahun lalu dalam masa usaha meletakkan resort itu di peta pelancongan dunia.

“Kerja menaik taraf dan mengubahsuai dilakukan awal tahun lepas melibatkan 135 calet, lobi utama, restoran Tembat, Jenagor Bar and Lounge, Ulik Mayang Spa, kemudahan persidangan serta asrama untuk kakitangan.

“Kami berharap dapat menjadikan resort itu sebagai satu-satunya resort bertaraf antarabangsa di Tasik Kenyir,” ujar beliau.

Di Lake Kenyir Resort dan Spa, banyak aktiviti boleh dilakukan, pasti sehari tidak cukup untuk menghabiskan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan di situ.

Hari kedua, kami dibawa menikmati pemandangan Air Terjun Lasir yang mengambil masa 45 minit perjalanan menaiki bot, dikelilingi pemandangan hijau yang mengagumkan.

Peluang untuk bersantai, mandi dan makan tengah hari di situ merupakan satu pengalaman baru yang menarik bagi penulis dan rakan-rakan wartawan lain.

Selain mandi-manda di air terjun, kami juga dibawa untuk berkayak dan memancing. Malah, sekiranya anda lebih cenderung untuk melakukan aktiviti yang lebih mencabar, anda boleh melakukan jelajah hutan.

Amazing Hunt di Tasik Kenyir cukup mencabar dan menyeronokkan. Kami diminta untuk mewujudkan satu kumpulan yang terdiri daripada tujuh peserta. Setiap kumpulan perlu menyelesaikan tugasan yang menuntut ketahanan mental dan fizikal.

Tugasan pertama ialah mendapatkan 10 barang yang berada di sekitar resort, antaranya kayu manis, belimbing, ciku, buah pinang, daun buluh, bunga raya, semut hitam dan bunga cenderawasih.

Pada awalnya, tugasan yang diberikan itu dirasakan mudah dan menyeronokkan tetapi selepas lima minit mencari barang-barang tersebut mula terasa penat.

Kami terpaksa berlari hampir sekitar resort yang begitu luas serta berbukit-bukit untuk mengejar masa, tambahan pula kami tidak dibenarkan menaiki buggy yang merupakan kenderaan utama untuk membawa pengunjung ke sekitar resort.

Tugasan kedua juga tidak kurang hebatnya. Kami perlu menaiki motosikal Modenas dan melalui titi sepanjang lima meter dan lebar kira-kira 10 sentimeter.

Sementara itu, dua daripada ahli kumpulan perlu berkayak sejauh kira-kira tiga kilometer ke pulau kecil di sekitar Tasik Kenyir bagi mendapatkan bendera untuk dibawa semula ke jeti resort.

Tugasan itu bagaimanapun tidak berakhir di jeti, ia diteruskan lagi dengan tugasan yang lain iaitu setiap ahli kumpulan perlu menyelam ke dalam kolam renang untuk mencari bola golf dan membawa bola tersebut naik bagi membuat pukulan leret ke arah lubang golf.

Keseronokan meneroka keindahan khazanah di Tasik Kenyir adalah pengalaman yang lebih berharga bagi kami.

0 comments:

Post a Comment

Search

Loading...

My Blog List

add saya di dsini

Subscribe via email

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Subscribe Now: Feed Icon