Friday, January 29, 2010

SEBAHAGIAN daripada peserta dan wakil media yang bertandang ke Homestay Kampung Ayer Limau, Melaka, baru-baru ini.
BAGI warga kota yang inginkan kelainan ketika bercuti mahupun menikmati suasana kampung yang mendamaikan, apa kata anda mencuba percutian secara inap desa.
Percutian inap desa kini merupakan salah satu produk pelancongan yang semakin mendapat tempat di hati pelancong dalam serta luar negara.
Ini kerana percutian yang mendamaikan serta suasana kampung yang mengasyikkan menjadi tarikan utama pelancong-pelancong hari ini.
Apa yang menarik mengenai percutian di inap desa ialah ia bukan sekadar untuk merehatkan diri serta menikmati panorama kampung yang nyaman malah para pelancong turut berpeluang menginap bersama penduduk yang menjayakan program inap desa untuk mengenali dengan lebih dekat mengenai sosio budaya masyarakat setempat.

GUA-GUA di Taman Negara Niah pernah didiami oleh manusia zaman batu lebih 40,000 tahun lalu.

SEJAK perkhidmatan penerbangan AirAsia dari Singapura ke Miri, Sarawak diperkenalkan September lalu, bekas bandar minyak di bumi Kenyalang itu mula mendapat perhatian pelancong dari kota Singa.
Sebelum ini, pelawat dari pulau Temasek biasanya akan ke negeri-negeri di Semenanjung seperti Johor, Melaka, Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur untuk bercuti atau menikmati keindahan alam semula jadi.
Walaupun Sarawak hanya dipisahkan oleh Laut China Selatan atau sejam penerbangan dari Changi ke Kuching, bumi Kenyalang itu belum begitu dikenali dalam kalangan warga Singapura.
Sebelum AirAsia memperkenalkan laluannya ke Miri, memang terdapat penerbangan dari Singapura ke Kuching melalui penerbangan syarikat lain tetapi ia tidak menawarkan tambang murah dan jadual penerbangan yang kerap.

Saturday, January 23, 2010

LIPUTAN mengenai destinasi pelancongan yang sama jika disiarkan berulang-kali di kaca televisyen boleh membuatkan penonton muak dan buntu untuk mengatur jadual percutian yang lebih menarik.

Bagi yang kerap melancong atau terlibat dalam aktiviti luar, mereka semestinya mahukan sesuatu yang baru untuk diterokai dan bukan tempat yang sudah biasa dikunjungi.

Rancangan TV yang mendedahkan lokasi-lokasi menarik dan tidak begitu diketahui umum pasti menjadi bahan yang dinanti-nantikan untuk dijadikan panduan dan rujukan bercuti.

Bagi memenuhi kehendak kaki-kaki libur di negara ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kini menyiarkan X-plorasi iaitu rancangan berbentuk majalah pengembaraan dan pelancongan.

Rancangan selama 30 minit yang sudah memasuki musim ke sembilan itu disiarkan di saluran TV1 pada setiap hari Sabtu 5.05 minit petang.

X-plorasi yang berkonsepkan penerokaan pelancongan antara lain turut menekankan aspek konservasi dan pemuliharaan alam setempat yang dijalankan di kawasan liputan.

Pengolahan rancangan dibuat berdasarkan perspektif pengacara rancangan sebagai seorang yang mempunyai hobi melancong, menggemari aktiviti lasak serta peka terhadap pemuliharaan alam sekitar.

Liputan merangkumi destinasi pelancongan yang belum popular di negara ini termasuk aktiviti lasak seperti selam skuba, pacuan empat roda, mendaki gunung, kayak arus deras, berakit dan berbasikal.

Krew penerbitan X-plorasi terdiri daripada Roziah Naam selaku Penerbit Eksekutif, Jabir Shafie (Penerbit), Nor Azlan Tendot Abu Bakar (Penerbit) dan Azura Zainal (Pengacara).

Menurut Jabir, walaupun X-plorasi merupakan majalah pelancongan berbentuk santai tetapi fokus utama adalah pada aspek konservasi.

"Rancangan ini menyelitkan usaha dan sebarang isu pemuliharaan yang berkaitan dengan lokasi.

"Matlamat kita adalah untuk menikmati keindahan alam semula jadi dan pada masa sama mendidik masyarakat mengenai ancaman alam yang sedang dihadapi sekarang," jelas beliau.

Sepanjang rakaman pengembaraan itu, Azura sebagai seorang pencinta alam telah melalui pelbagai pengalaman kembara yang lasak dan mencabar.

Misalnya, pasukan X-plosrasi baru-baru ini berkunjung ke tapak khazanah kebudayaan di Taman Negara Kayan Mentarang, Indonesia bagi meneroka keunikan tradisi suku kaum Lun Dayeh dan beberapa lokasi bersejarah di tanah Kalimantan itu.

Untuk sampai dan melakukan penerokaan di sana, mereka menempuhi kaedah pengangkutan yang menarik seperti motosikal, pacuan empat roda, kapal terbang Cessna dan bot enjin sangkut.

Liputan konservasi alam semula jadi juga meninjau kawasan Taman Hidupan Liar Tabin di Sabah yang merupakan satu-satunya habitat hidupan liar Badak Sumatera yang sukar ditemui di negara lain.

Keindahan taman laut serta pulau-pulau seperti Pulau Tinggi (Johor) Redang, Bidong (Terengganu), Layang-Layang dan Mantani (Sabah) turut menjadi lokasi pengembaraan X-plorasi dalam memberi input kepada orang ramai tentang usaha-usaha konservasi yang dijalankan oleh pihak-pihak tertentu agar keindahan negara terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Selain usaha pemuliharaan, aktiviti sukan pelancongan juga turut dijadikan santapan kepada penonton antaranya aktiviti kayak arus deras di Sungai Padas, Sabah, kembara pacuan empat roda ke Kampung Pa' Dalih,Kelapang, Sarawak dan pendakian di laluan besi (via ferata) dari Gunung Kinabalu.

Sementara itu, pengembaraan X-plorasi juga 'membawa' penonton ke luar negara bagi menyaksikan keindahan bentuk muka bumi seperti di pergunungan Nepal dan keunikan budayanya.

Krew kembara juga bertandang ke Sumatera Utara, Indonesia untuk mendedahkan lokasi pendakian seperti di Gunung Sibayak di Brastagi Medan, pengalaman mencuba rakit arus deras Asahan dan Batu Bara yang memiliki keunikan tradisi yang tersendiri.

Bagi yang gemar melancong dengan kepelbagaian aktiviti lasak, pilihlah saluran TV1 pada setiap Sabtu jam 5.05 petang untuk mengikuti pelbagai pengalaman kembara pasukan X-plorasi. Maklumat lanjut mengenai butiran rancangan boleh diperolehi dari lamanwww.facebook.com/x-plorasi
Monday, January 18, 2010

MENYAMBUT tahun baru di tengah-tengah kota raya yang penuh sesak bukanlah pilihan semua orang. Ada yang memanfaatkan sepenuhnya untuk sesuatu yang lebih menarik.

Bagi ahli Kelab Kembara dan Rekreasi Universiti Tenaga Nasional (Uniten), sambutan 2010 lebih bermakna jika diadakan jauh di tengah-tengah hutan seperti sambutan tahun-tahun sebelumnya.

Kali ini mereka memilih Hutan Lipur Chemerong yang terletak di Hulu Dungun, Terengganu. Walaupun tanpa percikan bunga api menghiasi langit, peluang menghabiskan masa bersama-sama rakan karib jauh lebih menyeronokkan.

Ekspedisi Chemerong yang disertai 40 pendaki bermula seawal pukul 8 pagi. Selepas taklimat pendakian oleh penunjuk arah, Shah Fasat Md. Zin dan sesi senaman ringkas, mereka memulakan perjalanan.

Lokasi pertama adalah kaki Air Terjun Chemerong yang disimbahi percikan dan curahan air dari ketinggian kira-kira 500 meter.

Kawasan di sekitar air terjun tertinggi di Asia Tenggara yang dikelilingi kabus itu memberikan pemandangan yang pasti tidak mahu dilepaskan oleh sesiapa.

Menurut seorang peserta yang pernah menjejakkan kaki di kawasan itu beberapa tahun lalu, limpahan air terjun pada pendakian itu lebih besar dan deras berbanding waktu pertama kali dia tiba di situ.

Dari Lata Chemerong, perjalanan diteruskan ke Kem Balak. Cabaran paling getir adalah menyeberangi dua batang anak sungai berarus deras. Dengan menggunakan tali, seorang demi seorang berjaya melepasi laluan sungai berbatu itu.

Perjalanan pada hari kedua bermula agak lewat kerana masing-masing leka ketika menikmati sarapan pagi di kelilingi alam semula jadi yang damai.

Perjalanan ke Kem Sungai Lansir merentasi Gunung Berembun berketinggian 1,108 meter. Sepanjang perjalanan, peserta sekali lagi 'dipukau' dengan pemandangan tanah tinggi yang menakjubkan.

Keindahan taman bonsai di situ memaksa para peserta mengeluarkan kamera masing-masing walaupun dalam keadaan hujan.

Kumpulan tiba di puncak Gunung Berembun dan menikmati makan tengah hari sepuas-puasnya pada petang itu.

Perjalanan turun dari gunung itu bagaimanapun benar-benar menguji kekuatan kaki peserta, ditambah dengan permukaan yang licin kerana hujan.

Namun perjalanan ke Kem Sungai Lansir tetap diteruskan dan dirasakan tidak begitu membebankan kerana laluan perjalanan yang cantik seperti laman yang dijaga rapi.

Susunan batu-batu sungai, air yang jernih dan kawasan redup yang dilitupi pohon-pohon bonsai cukup mendamaikan minda.

Akhirnya peserta tiba di Kem Sungai Lansir. Berbanding lawatan dua tahun lalu, keindahan kawasan di situ sudah mula tercabul. Beberapa longgok sampah menjadi penyambut kehadiran kami.

Keesokan harinya selepas menikmati sarapan pagi kami mula berkemas dan mengutip sampah yang ditinggalkan pendaki-pendaki tidak berakal dengan kudrat yang termampu.

Walaupun tidak berpeluang menyaksikan matahari terbit kerana pemandangan terhalang oleh kabus tebal, masing-masing puas dengan pendakian pembukaan 2010.

Azam mereka pada tahun ini adalah untuk meneruskan pendakian ke gunung- gunung yang lebih tinggi dan sukar.

LAUT yang terbentang luas bukan sahaja mendamaikan, malah desiran ombak yang memukul pantai dapat merehatkan minda yang penat memikirkan pelbagai persoalan kehidupan termasuk bebanan kerja di pejabat.

Justeru untuk merehatkan fikiran, lokasi percutian yang menarik dan menyajikan panorama indah pastinya menjadi pilihan.

Selain itu, faktor jarak yang dekat dengan lokasi kediaman turut menjadi perhitungan dalam memilih destinasi pelancongan.

Bagi warga Kuala Lumpur, sudah menjadi kelaziman pantai peranginan di Port Dickson, Negeri Sembilan menjadi destinasi utama untuk bercuti sambil meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan.

Namun bagi yang sudah biasa ke Pantai Port Dickson, apa kata kali ini kita berubah angin bercuti ke tempat peranginan tetapi dalam suasana nyaman seperti berada di kampung halaman sendiri.

Mungkin sukar untuk di gambarkan, namun itulah realiti yang dialami oleh penulis apabila sampai ke Dorani Bayu Resort d'Muara Marine Park di Sungai Besar, Selangor.

Pertama kali menjejaki kaki di sini, hati penulis terus terpaut dengan kejernihan air laut biru kehijauan yang menghadap Selat Melaka. Deruan ombak lembut yang membelai pantai seolah-olah mengalu-alukan kedatangan orang luar.

Penat perjalanan hampir dua jam dari ibu kota tiba-tiba lesap sejurus menjejak kaki di ruang legar resort dengan menyaksikan deruan ombak di pantai yang tidak sampai 50 meter dari lobi resort.

Ditambah pula dengan dekorasi menarik menjadikan perasaan semakin seronok untuk mencari keistimewaan di resort tersebut.

Dengan kawasan seluas 10 hektar, Dorani Bayu Resort D'Muara Marine Park berkedudukan cukup menarik di persisiran Sungai Haji Dorani.

Tidak cukup dengan itu, setiap bilik yang terletak di kawasan unik itu tidak meminggirkan elemen-elemen alam apabila pohon-pohon hijau dibiar tanpa diusik bagi memberi suasana hijau dan damai.

Resort yang diuruskan oleh Dorani Bayu Resort N Service Sdn. Bhd. sememangnya terletak di salah sebuah kawasan strategik yang menawarkan pemandangan pantai yang indah serta menarik.

Malah kedudukan strategik ini menjadi 'pelaris' dalam menarik pelancong dari dalam dan juga luar negara.

Ini ditambah lagi dengan keunikan resort yang di bina di persisiran pantai yang kelihatan terapung di atas air.

Menurut Pengurus Pemasaran resort tersebut, Nur Fadilah Sofia Razak, resort ini menyediakan dua jenis penginapan berhawa dingin iaitu 13 unit calet eksklusif dan sembilan unit pangsapuri dengan dua bilik tidur dan ruang rehat yang dilengkapi set sofa, televisyen dan juga ruang dapur.

''Kedua-duanya dilengkapi kemudahan-kemudahan utama termasuk set televisyen dan telefon. Dengan keluasan bilik yang sederhana serta susun atur perabot yang kemas memberi keselesaan kepada penghuni untuk bergerak dengan bebas terutama bagi yang datang bersama keluarga.

''Semua kemudahan itu memberi keselesaan kepada pengunjung termasuk yang bercuti bersama seluruh ahli keluarga atau datang bersama rakan-rakan secara berkumpulan.

''Pengunjung yang datang boleh membuat pilihan sama ada untuk menempah bilik chalet yang berada di persisiran pantai ataupun pangsapuri berhadapan dengan jeti nelayan, di mana kedua-dua memberi pemandangan alam yang indah,'' katanya ketika di temui baru-baru ini.

Bagi mereka yang ingin melihat aktiviti penangkapan ikan, resort ini juga bersebelahan jeti nelayan yang membuat operasi penangkapan setiap hari dan nikmatilah ikan segar yang baru dari laut.

Bagi mereka yang mahu bercuti sambil bekerja pula, Dorani Bayu Resort turut menyediakan semua kemudahan yang diperlukan.

Ini termasuklah dewan persidangan yang lengkap untuk mesyuarat, seminar, bengkel dan pertemuan korporat bagi membincangkan hal-hal bisnes.

Kemudahan itu sekali gus membolehkan program latihan, sesi memerah otak dan kerja intensif dijalankan dalam suasana penuh ketenangan.

Bagi mereka yang gemar aktiviti lasak seperti merentas hutan, memancing atau mengelilingi laut, Dorani Bayu Resort turut menyediakan aktiviti-aktiviti tersebut.

Ini kerana beberapa langkah dari resort itu terletaknya Pulau Sembilan yang sememang indah dengan alam semesta.

Jika jemu melayan hutan yang menghijau serta memancing ikan, kita juga boleh mencabar ombak dengan mengelilinginya di sekeliling persisiran resort.

Dalam pada itu, Dorani Bayu Resort D'Muara Marine Park turut menawarkan enam pakej penginapan pada harga antara RM110 hingga RM180.

Malah lebih menarik, pengunjung juga boleh menyaksikan suasana kampung yang nyaman di resort tersebut termasuklah lawatan ke tengah laut bagi menyaksikan keindahan alam serta mengikuti aktiviti berkhemah di kawasan yang berdekatan dengan resort.

Selain itu, bagi pengunjung yang berminat untuk memancing mereka bolehlah ke Pulau Sembilan di Perak yang terletak tidak jauh dari resort tersebut dengan menggunakan perkhidmatan yang disediakan.

Malah tidak cukup dengan itu, pengunjung yang bertuah juga boleh melihat burung-burung Flamingo yang singgah di persisiran resort tersebut pada setiap petang.

Selain itu pengunjung juga boleh merasai keenakan mentarang yang merupakan sejenis siput yang dipungut dari pasir-pasir di tepi pantai.

Bagi mereka yang datang berkumpulan dan bercadang untuk mengadakan hari keluarga, bolehlah memilih beberapa aktiviti lain yang menarik seperti pertandingan sukan dengan khidmat koordinator atau menguji bakat dalam sesi karaoke.

Oleh kerana resort tersebut menerima pengunjung yang tidak putus-putus terutama pada cuti hujung minggu, tempahan awal perlulah dibuat iaitu sekurang-kurangnya sebulan lebih awal.

Tidak sempurna sebuah penginapan yang hebat tanpa tempat untuk menjamu selera.

Memberi pelbagai pilihan kepada pengunjung dengan setiap satunya menawarkan pengalaman dan suasana berbeza iaitu di restoran terapung .

Dibuka dari pukul 1 petang sehingga 1 pagi, restoran berkonsep terbuka ini menjadikan pengalaman menikmati masakan enak di sini tidak dapat dilupakan.

Sambil bayu laut meniup nyaman, sambil itulah kita memilih menu yang dinanti-nantikan.

Ruang yang luas ini boleh memuatkan sehingga 200 pengunjung pada satu-satu masa dan mereka yang mahu menikmati barbeku boleh membuat tempahan awal.

Sudah sampai ke sini yang sememangnya merupakan lubuk ikan dan hidupan laut menjadi satu kesilapan besar jika tidak merasai hasil laut segar yang baru di tangkap.

Malah hidangan segar dari laut yang disediakan oleh restoran itu juga menjadikan sesuatu yang sukar untuk dilupakan kepada pengunjung yang datang ke resort tersebut.

Menyempurnakan percutian sekeluarga yang seperti berada di kampung sendiri, pengunjung boleh ke pekan Sungai Besar yang terletak lima kilometer dari resort tersebut.

Di sana pelbagai barangan boleh di beli. Jika ingin merasai buah-buahan tempatan bolehlah mencuba mangga tempatan yang sememang terkenal serta keenakan yang manis dan lemak yang tersendiri.

Apa yang pasti ialah percutian di Dorani Resort memahat satu lagi keindahan memori dan tidak dilupakan terutama di kalangan mereka yang jatuh cinta dengan matahari, laut dan panorama indah di pesisir pantai.

Monday, January 11, 2010

 

NAMA Pulau-Pulau Sembilan memang tidak ramai yang mengetahuinya berbanding kawasan peranginan seperti Pulau Pangkor dan beberapa destinasi lain di Perak.

Ini kerana ramai yang jarang mengetahui mengenai keunikan Pulau-Pulau Sembilan. Tidak keterlaluan juga jika dikatakan kurangnya publisiti mengenai Pulau-Pulau Sembilan antara faktor menyebabkan ia kurang dikenali ramai.

Berbeza dengan Pulau Pangkor, yang bukan sahaja terkenal sebagai destinasi pelancongan, malah terdapat produk-produk hiliran yang menggunakan jenama pulau peranginan tersebut seperti ikan kering, sotong dan sebagainya.

Mungkin atas beberapa faktor lain lagi, Pulau-Pulau Sembilan tidaklah begitu dikenali pelancong.

Bagaimanapun bagi kaki pancing, Pulau-Pulau Sembilan umpama syurga dan antara destinasi tumpuan memandangkan terdapat pelbagai spesies hidupan laut di sekitar kepulauan tersebut.

Malah, kalangan nelayan tempatan juga sering tertumpu di kawasan berkenaan. Hasil tangkapan di sekitar Pulau-Pulau Sembilan juga dianggap lumayan.

Sehubungan itu, aktiviti menangkap ikan termasuk bagi kaki-kaki pancing sering tertumpu di sekitar Pulau-Pulau Sembilan.

Malah, perusahaan menyewa bot untuk menjalankan kegiatan memancing di Pulau-Pulau Sembilan dianggap sentiasa berkembang pesat.

Dinamakan Pulau-pulau Sembilan disebabkan terdapat gugusan sembilan buah pulau di kawasan tersebut.

Antaranya ialah Pulau Rumbia, Pulau Buluh dan beberapa pulau lain.

Di samping itu, bagi mereka yang meminati aktiviti perkhemahan dan bersantai, terdapat antara pulau di situ yang sesuai dijadikan tumpuan memandangkan pantainya yang indah serta airnya jernih.

Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa Pulau-Pulau Sembilan juga 'dalam diam' turut menjadi tumpuan para penyelam termasuk dari luar negara.

Begitu pun, kegiatan selam itu tidaklah sehebat atau seaktif seperti yang berlaku di Pantai Timur Semenanjung seperti di Pulau Perhentian, Pulau Tioman dan Pulau Redang.

Disebabkan kurangnya kegiatan menyelam atau skuba, secara langsung industri menjual peralatan selam di sekitar Lumut juga tidak berapa aktif.

Namun, adalah diakui masih ada kalangan yang meminati aktiviti menyelam suka berkunjung ke Pulau-Pulau Sembilan.

Kalangan penyelam ini termasuk pelancongan asing dan mereka mengetahui mengenai Pulau-Pulau Sembilan selalunya daripada rakan-rakan kenalan.

Kegiatan menyelam di sekitar Pulau-Pulau Sembilan juga sering dilakukan termasuk pada akhir tahun dan awal tahun.

Ini disebabkan beberapa buah pulau di Pantai Timur Semenanjung menghentikan kegiatan disebabkan musim tengkujuh.

Tambahan pula, sepanjang musim tengkujuh itu ada penyelam tidak menjalankan aktiviti di luar Semenanjung memandangkan kos yang agak tinggi.

Sehubungan itu, destinasi seperti Pulau-Pulau Sembilan dan Langkawi sering menjadi pilihan para penyelam sepanjang musim tengkujuh.

Seharusnya pihak berkenaan mengambil kesempatan daripada musim tengkujuh di Pantai Timur Semenanjung dengan menjadikan Pulau-Pulau Sembilan sebagai destinasi untuk para penyelam.

Langkah sedemikian sebenarnya mampu membuka peluang ekonomi kepada ramai pihak.

Bagi pengusaha-pengusaha resort, calet dan hotel, kehadiran pelancong bakal memberi pulangan kepada mereka.

Di samping itu, kehadiran para penyelam dan pelancong di Pulau-Pulau Sembilan juga dapat mewujudkan peluang-peluang perniagaan yang berkaitan dengan peralatan selam.

Ini termasuk perniagaan menjual peralatan selam dan sebagainya.

Tidak ketinggalan ialah para pengusaha bot yang dapat memberi khidmat bukan sahaja kepada kaki pancing, malah penggemar aktiviti skuba.

Lebih penting, jika Pulau-Pulau Sembilan dijadikan kawasan 'kawalan' melibatkan penjagaan alam sekitar termasuk di dasar laut, pasti ia menguntungkan kerajaan negeri disebabkan khazanah laut di situ dipulihara dengan rapi.

destinasi

Sebenarnya, banyak lagi faedah yang boleh diperolehi jika Pulau-Pulau Sembilan dijadikan destinasi pelancongan popular.

Kedatangan pelancong asing ke kawasan berkenaan mampu menjaga ekonomi setempat.

Apa pun, bukanlah satu tugas yang mudah untuk memulihara khazanah yang terdapat di dasar laut sekitar Pulau-Pulau Sembilan.

Ini disebabkan beberapa kawasan sekitar didapati mengalami kerosakan melibatkan batu karang dan sebagainya.

Berikutan keadaan ini, Ocean Elements yang diketuai Pengarahnya, Mohd. Halimi Abdullah telah mengambil inisiatif menjalankan aktiviti sosial membersihkan dasar laut sekitar Pulau-Pulau Sembilan baru-baru ini.

Ia dijalankan dengan kerjasama kerajaan Negeri Perak, Unit Perancangan Ekonomi Negeri dan beberapa agensi lagi.

Aktiviti selama dua hari itu melibatkan kira-kira 25 orang penyelam.

Sebahagian para penyelam terbabit dari kalangan mereka yang pernah dilatih oleh Ocean Elements terutama membabitkan penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar di dasar laut.

Dalam aktiviti di sekitar Pulau-Pulau Sembilan itu, para penyelam ditugaskan untuk membersihkan segala sampah-sarap yang terdapat di dasar laut.

Ia termasuk pukat-pukat yang terbiar hingga merosakkan batu karang dan sebagainya.

Tugas membersihkan sampah-sarap, memotong pukat dan menaikkannya ke permukaan air bukanlah satu tugas yang mudah. Para penyelam terpaksa mengambil masa yang lama untuk membersihkan sampah-sarap tersebut dan ia juga perlu dilakukan secara berhati-hati bagi menghindarkan sebarang kerosakan pada terumbu karang.

Mohd. Halimi berkata, terdapat pukat-pukat yang telah sekian lama berada di dasar laut berkenaan hingga puluhan tahun.

"Memang kerja-kerja membersihkan sampah-sarap dan memotong pukat-pukat ini amat sukar.

"Namun kerjasama semua peserta telah berjaya menaikkan sejumlah besar sampah-sarap berkenaan,'' katanya.

Walaupun masih banyak sampah-sarap dan pukat terbiar di dasar laut sekitar kawasan itu, namun usaha Ocean Elements tersebut sedikit sebanyak dapat membantu kerajaan negeri ke arah menjadi Pulau-Pulau Sembilan sebagai destinasi tumpuan.

Menurut Mohd. Halimi, usaha membersihkan sampah-sarap di dasar perlu dilakukan secara berterusan kerana ia mengambil masa agak lama.

"Ada pukat yang dipercayai telah berpuluh tahun dan tersekat pada terumbu karang. Ini memerlukan masa untuk membersihkannya,'' katanya.

Mohd. Halimi berharap, aktiviti membersihkan sampah-sarap dan memulihara khazanah laut di sekitar Pulau-Pulau Sembilan itu dapat diteruskan dengan sokongan daripada kerajaan negeri.

Jika usaha seperti ini diteruskan, tidak mustahil Pulau-Pulau Sembilan mampu diketengahkan sebagai destinasi pelancongan bukan sahaja kepada kaki pancing, malah para penyelam dan mereka yang meminati aktiviti perkhemahan dan treking.

Bagi mereka yang berminat menyertai aktiviti skuba anjuran Ocean Elements melibatkan pemuliharaan khazanah laut atau mengenali lebih dekat destinasi Pulau-Pulau Sembilan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Mohd. Halimi di emel diveshop@oceanelements.myatau layari www.oceanelements.my.

Saturday, January 9, 2010

image

BERCUTI ke Desaru, Johor, bakal memberikan pengalaman yang berlainan berbanding  dengan pantai di sebelah pantai barat Semenanjung Malaysia. Mendapat jemputan ke Lotus Desaru Beach Resort sememangnya mengujakan sementelah agak lama tidak tidak bercuti di pantai.

Tiba di sana tersergam indah, sebuah resort baru dengan pemandangan gaya tropika yang amat sesuai bagi mereka yang cintakan keindahan alam.

Makan tengahari yang dihidangkan di Teratai Coffee House amat menyelerakan dengan campuran menu-menu tempatan berkonsepkan 1 Malaysia.

Sebut apa saja juadah sama ada sambal belacan, ulam-ulaman, kari, roti canai, sup mahu pun kuew tiaw goreng semuanya ada di sana.

Kemudian kami mendaftar masuk ke bilik yang berkonsepkan apartmen dua bilik yang lengkap dengan kabinet dapur dan peti ais.

Bilik pertama yang boleh dikatakan bilik utama dengan katil bersaiz queen, manakala bilik kedua dengan dua katil saiz bujang yang sesuai bagi keluarga.

Resort yang mempunyai 700 suite apartmen daripada satu bilik kepada tiga bilik yang selesa dengan bilik tetamu dan dewan makan yang luas.

Pada petang hari yang sama, kami dibawa ke Ladang Burung Unta dengan hanya perjalanan 15 minit menempatkan ladang ternakan burung unta antara terbesar di negara ini.

Di sana pengunjung akan diberikan taklimat mengenai burung unta selain boleh bermesra dengan haiwan berkenaan.

Tetapi jangan bimbang jika burung unta merayau-rayau dan cuba mematuk kerana haiwan yang dilepaskan itu jinak dengan manusia.

Di sana pengunjung juga dapat membeli pelbagai buah tangan yang diperbuat sama ada bulu burung unta, kulit telur burung unta yang dihias malah kaya dari telur burung unta.

Selepas bermanja dengan burung unta, kami dibawa pula ke Desaru Golf and Country Club 18 lubang yang menggamit kaki golf.

Terletak di sempadan pantai dan hutan tropika, kawasan seluas 300 ekar ini direka khusus oleh sentuhan arkitek padang golf Robert Trent Jones Jr. yang amat menenangkan pengunjung.

Clubhouse dengan reka bentuk Afrika dilengkapi dengan kabin, kafe bagi pemain golf, bilik VIP dan tempat tukar pakaian bagi lelaki dan perempuan.

Selain itu pengunjung juga boleh menikmati kemudahan rekreasi termasuk program bina semangat.

Selesai di padang golf kami balik ke bilik untuk bersiap ke malam malam di Rhu Bar yang terletak berhadapan dengan pantai.

Kawasannya yang terbuka memberikan suasana mendamaikan dengan lampu neon bagi makan malam yang romantik.

Makan makan dengan hidangan barbeku hangat memberikan suasana ceria ditambah dengan bunyi deburan ombak.

Setelah menikmati keindahan pantai di waktu malam, tiba masanya untuk melelapkan mata di suite dua bilik.

Esoknya sebelum sarapan, kami menyertai aktiviti tai chi pantai kelolaan jurulatih profesional bagi memberikan kesegaran kepada pengunjung bagi memulakan hari mereka.

Selepas tai chi, kami dihidangkan dengan sarapan berkhasiat sebelum berlepas ke Desaru Fruit Farm.

Di sana pengunjung dapat melihat pelbagai tanaman daripada herba, buah-buahan tempatan serta eksotik yang jarang ditemui di tempat lain.

Di ladang, pengunjung diberikan taklimat mengenai tanaman serta kegunaannya dalam kehidupan seharian.

Berjalan kaki di dalam ladang dengan udara segar pengunjung boleh menikmati suasana seperti di kampung.

Pengunjung boleh menikmati pelbagai jenis buah serta jus segar seperti jambu air, buah markisa, pulasan, kedondong serta mangga.

Mereka yang ingin membawa pulang buah-buahan eksotika boleh membelinya di kedai yang terletak di pintu masuk.

Petangnya selepas balik ke Lotus Desaru Beach Resort, kami diberikan pilihan aktiviti pantai seperti menaiki bot, berkayak, banana boat, jet ski serta memancing.

Pengunjung boleh memilih mana-mana aktiviti yang sesuai atau jika tidak boleh menghabiskan masa di kolam renang atau di gimnasium.

Mereka yang membawa kanak-kanak pula terdapat taman tema yang sesuai bagi pelbagai peringkat usia.

Pada malam hari pula pengunjung boleh menyusuri Sungai Lebam bagi melihat keindahan kelip-kelip yang sukar ditemui sekarang.

Pulang melihat kelip-kelip, jamuan makan malam disediakan di tepian pantai Rhu Bar.

Esoknya selepas sarapan, kami diberi peluang menyusuri pantai sebelum makan tengahari dan pulang semula ke Kuala Lumpur.

Apa pun memang berbaloi bercuti ke Desaru Lotus Resort dengan pakej lawatan pilihan yang ditawarkan untuk keluarga.

Bagaimana ke sana

Lotus Desaru Beach Resort terletak di pantai timur Johor dan pengunjung dari Johor Bahru mengambil masa kira-kira 75 minit dan 90 minit dari lapangan terbang Senai.

Jika dari Tambak Johor, ikut saja papan tanda ke Kota Tinggi dan Desaru melalui Senai Desaru Expressway yang menghubungkan Senai, Ulu Tiram, Cahaya Baru, Pasir Gudang dan Penawar.

Pengunjung dari Kuala Lumpur mengambil masa lebih kurang empat jam melalui Lebuhraya Utara Selatan dengan mengambil susur keluar ke Kulai menuju ke Kota Tinggi terus ke Desaru.

Bagi pengunjung dari Singapura, mereka boleh menggunakan perkhidmatan feri dari Changi ke Tanjung Belungkor dan dari sana terdapat kenderaan hotel yang akan membawa mereka ke hotel atas permintaan.

Sebarang pertanyaan mengenai Lotus Desaru Beach Resort bolehlah menghubungi 07-8842800 atau layari laman sesawang www.lotusdesaru.com

Search

Loading...

add saya di dsini

Subscribe via email

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Subscribe Now: Feed Icon